Menjadi ibu bapa memerlukan tanggungjawab yang besar dan perhatian yang tinggi terutama dalam memastikan keselamatan anak-anak sentiasa terjaga dengan baik. Jika tidak, kita akan tergolong di kalangan golongan yang melakukan kecuaian apabila sesuatu terjadi kepada anak sendiri.
Malang itu tidak berbau. Sebelum terjadi apa-apa, sebaiknya kita beringat. Seorang ibu telah berkongsi pengalaman cuainya ketika bersama bayi kesayangan di dalam Facebook dengan menulis seperti berikut:
“Sekadar mahu berkongsi. Berkongsi dengan keprihatinan. Perkara ini terjadi kepada saya dan saya tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada orang lain. Menggunakan penyangkut baju itu amat baik dan menyenangkan kerja. Tetapi penyangkut baju itu hanya menyenangkan kita dan bukannya bayi kita.
Sebaik-baiknya simpanlah penyangkut baju di tempatnya dan sembunyikan ia dari perhatian bayi dan kanak-kanak. Mereka sememangnya tidak mengerti apa-apa. Jika anda ternampak anak itu bermain dengan penyangkut baju semasa dia berlegar-legar di dalam rumah, sila ambil penyangkut baju itu darinya.
Jika anak anda menangis, tidak mengapa. Biar anak itu menangis dahulu, jangan kita yang menangis di kemudian hari. Sememangnya kita tidak menyangka yang penyangkut baju itu boleh mendatangkan bahaya kepada anak-anak kita. Tapi kita tidak tahu, macam-macam perkara boleh terjadi. Mahu tahu mengapa penyangkut baju itu merbahaya untuk bayi? Ini kisahnya.
Insiden ini bermula semasa saya sedang rancak berbual dengan ibu, nenek bayi saya Iris. Iris seperti biasa bermain-main di sebelah saya dan sambil itu saya melihat tiada apa-apa benda kecil yang akan dikutip Iris dan menelannya.
Dan tiada apa-apa benda merbahaya di tempat permainan Iris. Yang ada ketika itu cuma penyangkut baju sahaja. Jadi saya membiarkan Iris bermain dengannya kerana memikirkan yang penyangkut baju itu tidak merbahaya dan memudaratkan. Dan saya menyambung perbualan dengan ibu.
Tiba-tiba saya terdengar Iris terbatuk-batuk seperti mahu muntah. Saya menoleh kepada Iris dan telah melihat cangkutan penyangkut baju itu telah berada di dalam tekak dan mulut Iris. Dugaan apa yang saya rasakan ini. Iris hanya ternganga dan terdiam kaku, tidak mampu menangis. Bibirnya telah bertukar menjadi biru.
Penyangkut baju itu tersangkut seperti di ampaian pakaian dan di sini Iris yang disangkutnya. Serta merta darah saya mengalir laju dan jantung berdegup kencang. Nyawa bayi yang saya sayangi di dalam bahaya. Saya berserah kepada Tuhan dan berusaha mengeluarkan penyangkut baju itu dari mulut Iris.
Tanpa memikirkan apa-apa selain keselamatan Iris, saya terus mengambilnya lalu menepis tangannya supaya tidak memegang panyangkut baju itu dan tidak menepis tangan saya juga. Saya mendongakkan kepala Iris dan cuba menarik penyangkut baju itu dengan perlahan-lahan supaya tekak Iris tidak tercedera.
Syukur, penyangkut baju itu telah dapat dikeluarkan dengan mudah walaupun pada mulanya dilihat seperti agak susah untuk mengeluarkannya. Selepas itu, Iris baru dapat menangis dan mengeluarkan suaranya. Mungkin kerana terkejut dan kesukaran bernafas.
Saya terus memeriksa tekak Iris dengan takut jika ada pendarahan atau kecederaan yang lain. Tetapi syukur tiada apa-apa yang serius dan baik sahaja. Saya mahu membawa Iris ke hospital tetapi selepas beberapa minit, Iris kembali lincah seperti biasa dan bermain seperti tiada apa yang berlaku. Jadi niat itu dibatalkan.
Nasib baik saya cepat perasan dan bertindak. Jika tidak, saya tidak tahu apa yang akan terjadi kepada Iris. Saya tidak mahu membayangkannya. Insiden ini menjadi pengajaran kepada saya. Tidak semua benda yang kita nampak tidak merbahaya itu boleh menjadi permainan kepada bayi dan anak kecil kita.
Di masa hadapan, saya perlu menjaga Iris dengan lebih berhati-hati dan mengambil perhatian kepadanya. Anak seperti Iris sememangnya banyak akal tetapi masih belum berakal. Kita yang perlu berhati-hati dan mengambil berat dengannya.
Perkara yang mahu terjadi akan tetap terjadi dan ia sudah pun berlalu. Yang penting Iris sihat dan selamat. Ia akan menjadi pengajaran. Yang baik dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan teladan.
Ibu ini mahu berkongsi dengan kita semua supaya sentiasa mengawasi anak-anak dan tidak menjadi cuai dalam meletakkan barang-barang walaupun dirasakan ia tidak membahayakan. Sentiasalah menjadi ibu bapa yang berwaspada dan peka dengan tingkah laku anak-anak terutamanya kepada bayi dan anak kecil.
Sumber :www.Era Baru.com.my