Pakar psikologi berfikir bahawa kanak-kanak berasa lebih selamat dan lebih tenang jika mereka ditegah melakukan sesuatu. Walau bagaimanapun, sekatan kepada perkara-perkara tertentu boleh membuatkan kanak-kanak berasa sebaliknya. Mereka bahkan akan lebih cenderung untuk berasa tidak selamat dan perkara ini boleh memperlahankan perkembangan diri mereka.
Oleh itu, sebagai ibu bapa khususnya, anda perlu tahu apa yang harus ditegah dan apa pula yang harus digalakkan kepada anak-anak kecil. Di bawah adalah senarai ringkas sembilan perkara yang tidak seharusnya ditegah daripada dilakukan oleh anak-anak.
1. Bertanya soalan
Kanak-kanak sememangnya punya banyak persoalan di minda mereka. Ada sahaja perkara yang ingin diketahui mereka. Dalam fasa inilah sifat ingin tahu mereka sangat tinggi. Mungkin bagi sesetengah ibu bapa yang bekerja, untuk menjawab segala pertanyaan anak-anak kecil pasti agak sukar kerana keletihan setelah seharian bekerja. Tetapi anda perlu sedar bahawa masa yang diluangkan bersama anak-anak sangat membantu dalam tumbesaran mereka. Tambahan lagi, anda juga dapat menjalin ikatan yang erat antara anda, ibu bapa dengan anak-anak anda.
2. Menangis
Jangan larang anak anda untuk menangis, atau malu untuk mengeluarkan air mata. Perkara ini adalah lebih baik untuk membantu mereka memahami mengapa mereka menangis di samping dapat mencari cara untuk berhadapan dengan situasi itu.
3. Jadi tamak
Anak anda mempunyai hak untuk memiliki barang-barang mereka sendiri, sama seperti orang dewasa. Jangan sekali-kali memalukan mereka kerana mereka bersikap tamak. Raikan mereka tetapi dalam masa yang sama didik mereka dengan lemah lembut supaya mereka lebih faham.
4. Katakan “tidak”
Kredit: mensahmedical
Anak anda bukanlah subjek anda; mereka adalah ahli keluarga. Melarang mereka untuk mengatakan “tidak” kepada anda bermaksud melanggar sempadan mereka. Sebaliknya, cuba mencari persetujuan atau cara untuk menjelaskan mengapa mereka adakalanya harus melakukan sesuatu yang mereka tidak mahu.
5. Membuat bising
Jangan rosakkan zaman kanak-kanak anak-anak anda. Biarkan sahaja mereka menyanyikan lagu-lagu kegemaran mereka atau membuat bising. Ketika inilah mereka benar-benar bebas untuk melakukan semua itu kerana tiada yang akan memarahi mereka kerana mereka masih terlalu kecil.
6. Rasa takut
Kanak-kanak mungkin menjadi takut apabila melihat seorang doktor atau saudara mara yang tidak dikenali dan ketahuilah bahawa semua itu adalah sesuatu yang normal. Jangan memalukan mereka kerana ketakutan mereka. Anda harus buatkan mereka tahu bahawa anda ada bersama mereka dan tidak ada apa yang perlu mereka takutkan.
7. Mempunyai rahsia
Lebih dewasa anak-anak anda, semakin mereka memerlukan privasi mereka sendiri. Anda harus tahu apa yang berlaku dalam hidup mereka, tetapi pastikan anda tidak menceroboh privasi mereka. Kepercayaan anak-anak anda tidak ternilai, dan adalah sebaiknya jika anda tidak mengkhianati kepercayaan mereka dengan cuba membaca diari atau cuba mengorek rahsia daripada mereka.
8. Berasa marah atau cemburu
Kanak-kanak juga seorang manusia dan mereka mempunyai hak untuk mempunyai perasaan negatif. Mereka juga menghadapi kesulitan untuk mengawal diri mereka. Bagi mereka apa yang dilakukan adalah sesuatu yang betul walaupun pada hakikatnya tidak. Tegur mereka, biarlah mereka kecewa atau marah tetapi jelaskan semula kepada mereka mengapa semua itu berlaku. Buat mereka faham dan perlahan-lahan mereka akan dapat menerima alasan dan sebab mengapa semua itu berlaku.
9. Membuat kesilapan
Tiada siapa yang suka membuat kesilapan terutama anak-anak kecil yang masih belum matang. Keadaan akan lebih memburuk jika mereka dimarahi kerana kesilapan yang mereka lakukan. Perkara ini bahkan akan membuatkan mereka menjadi takut untuk cuba melakukan sesuatu kerana menurut mereka jika mereka salah mereka akan dimarahi. Kesilapan itu biasa, jadi tegurlah mereka, didik mereka dengan cara berhikmah dan lama-kelamaan mereka tentu akan faham.