6 kaedah untuk memandikan bayi yang perlu ibu bapa tahu dan amalkan

6 kaedah untuk memandikan bayi yang perlu ibu bapa tahu dan amalkan

Pengalaman memandikan bayi yang masih kecil terutamanya di awal kelahirannya cukup membimbangkan lebih-lebih lagi buat ibu bapa baharu.
Ketika inilah orang tua kita sama ada mak kandung atau mak mertua akan menunjukkan cara yang betul untuk memandikan bayi. Biarpun diasak dengan rasa bimbang namun detik memandikan bayi itu adalah antara pengalaman terindah yang pasti tidak dapat dilupakan.
Memang tidak dinafikan setiap bayi juga mempunyai kerenahnya masing-masing. Ada bayi yang teruja apabila dimandikan dan ada juga bayi yang menangis sehingga membuatkan ibu bapa panik. Namun, usah risau lagi, dengan mengamalkan 6 kaedah memandikan bayi berikut, anda dapat memandikan bayi anda dengan rasa aman dan bayi tidak menangis. Semoga perkongsian ini dapat membantu anda!
#1 Sediakan peralatan mandi yang sesuai
Pastikan anda membawa semua peralatan mandi bayi seperti sabun, span atau kain lembut, tuala dan besen mandi sebelum anda membawa bayi anda untuk dimandikan. Hal ini dapat mengelakkan anda daripada menjadi kelam-kabut semasa memandikan bayi lebih-lebih lagi apabila bayi mula menangis.
#2 Pastikan ruang untuk memandikan bayi itu tidak sempit



Bayi juga memerlukan ruang yang selesa untuk dimandikan. Jika bilik mandi anda sempit, mandikan sahaja bayi anda di ruang dapur yang bersih. Jangan lupa untuk melapikkan lantai di mana anda memandikan bayi dengan alas getah supaya dapat mengelakkan anda daripada tergelincir.
#3 Gunakan span atau kain lembut untuk membersihkan wajah bayi
Kulit bayi sangat lembut terutamanya pada wajahnya. Oleh itu, cara yang baik untuk membersihkan wajahnya ialah dengan membersihkan wajahnya dengan menggunakan span atau kain lembut. Lakukan dengan penuh hati-hati dan kasih sayang. Pasti bayi anda akan berasa selesa dan tidak menangis.
Jangan sesekali anda menyiram wajah bayi dengan air kerana potensi air untuk masuk ke dalam hidung bayi adalah tinggi. Air yang masuk ke dalam hidung bayi juga boleh menyebabkan hidungnya lembap dan bayi lebih mudah terkena jangkitan kuman atau selesema
#4 Pegang bayi dengan cara yang betul semasa memandikannya
Bayi suka melonjak-lonjak ketika berada di dalam air. Oleh itu, anda harus memegangnya dengan betul supaya bayi tidak terlepas daripada tangan anda. Caranya ialah anda harus memegang leher bayi dengan menggunakan satu tangan sebagai sokongan manakala satu tangan lagi digunakan untuk memandikan.
#5 Pastikan suhu dan kedalaman air sesuai mengikut umur bayi 
Pastikan air mandian bayi suam dan selesa tetapi tidak panas sebelum memasukkan bayi anda ke dalamnya. Suhu air yang paling sesuai ialah 37 darjah C.
Sepanjang enam bulan pertama usia bayi, kedalaman air yang sesuai ialah 13 sentimeter atau pastikan bahu bayi betul-betul terendam di dalam air. Tandakan paras air pada besen mandi bayi supaya mudah untuk anda merujuknya pada mandian yang seterusnya.
Peringatan untuk anda. Jangan sesekali letakkan bayi anda di dalam air yang kedalamannya lebih tinggi daripada pinggang mereka (ketika bayi berada di posisi duduk). Hal ini untuk mengelakkan bayi daripada terjatuh dan lemas.
#6 Gunakanlah sabun mandi bayi yang sesuai mengikut keselesaannya




Terdapat banyak produk mandian bayi di pasaran sehingga membuatkan ibu bapa teruja untuk mencubanya. Namun anda harus lebih peka dengan sensitiviti kulit bayi anda dan pilihlah produk yang sesuai untuknya.
Untuk bakal ibu bapa, anda juga perlu menyiapkan diri dengan ilmu memandikan bayi sebelum bayi dilahirkan. Hal ini akan memudahkan urusan anda memandikan bayi kelak. Bayi tidak menangis dan anda pun tidak panik. Selamat mencuba!

Sumber : Era Baru.com.my

close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==