Dutch Lady tampil jelaskan 4 ciri yang membezakan produk susu tulen dengan tiruan

Dutch Lady tampil jelaskan 4 ciri yang membezakan produk susu tulen dengan tiruan

Penularan mengenai produk susu rumusan bayi tiruan jenama Dutch Lady baru-baru ini membuktikan kes yang masih tidak berkesudahan sejak hujung tahun lalu. Kini, berita berkenaan jenama produk susu Dutch Lady Curious (900 gram) dengan nombor kelompok 1023C7WA pula didakwa sebagai produk tiruan.
Berikutan itu, ramai pelanggan khususnya para ibu bapa menyuarakan kebimbangan masing-masing memandangkan pengambilan susu tiruan ini boleh menjejaskan kesihatan bayi. Antara kesan yang dilaporkan kepada bayi yang meminum produk susu tiruan ini adalah:
  • Demam
  • Cirit-birit
  • Muntah
Memandangkan isu ini semakin menular di media sosial terutamanya setelah seorang bayi berusia lapan bulan dimasukkan ke hospital setelah meminum susu berkenaan, pihak Dutch Lady Malaysia tampil memberikan penjelasan yang lebih terperinci melalui kenyataan rasmi mereka di Facebook selain melaksanakan tindakan lanjut dalam menangani isu tersebut.
“Bagi pihak Dutch Lady Malaysia, kami mengambil berat insiden seperti ini dan memberi jaminan kepada para pengguna bahawa kesihatan dan kesejahteraan mereka sentiasa menjadi keutamaan kami,” jelas Tarang Gupta, Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia.
Siasatan lanjut telah diambil malah pihak Dutch Lady turut berhubung dengan pelanggan yang terlibat bagi mendapatkan maklumat terperinci. Sampel produk tiruan berkenaan telah diambil bagi menjalankan ujian makmal selaras dengan prosedur syarikat.

“Buat masa ini, penemuan awal daripada proses kawalan kualiti dalaman menunjukkan bahawa produk kami tidak mempunyai sebarang kekurangan dari segi kualiti dan susu kami selamat diminum”.
Dutch Lady Malaysia yang turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung permasalahan ini telah kongsikan beberapa ciri produk yang dikatakan selamat untuk diminum:



  • Kod kelompok dengan nombor permulaan 100, 101, 102 dan 103 adalah produk asli
  • Tarikh luput yang berakhir dengan (R), (W1), (W2) dan (W3) adalah produk yang sah
  • Variasi pembungkusan yang memaparkan logo FrieslandCampina dengan latar belakang biru dan putih merupakan produk Dutch Lady Malaysia
  • Variasi pembungkusan tertulis perkataan ‘Calcium’ dan ‘Kalsium’.
Dengan ini, segala spekulasi mengenai perbandingan produk asli dan produk tiruan tersebar sebelum ini adalah tidak benar. Oleh demikian, orang ramai adalah dinasihatkan agar tidak mempercayai maklumat yang disebarkan tanpa merujuk kepada pusat perkhidmatan pelanggan Dutch Lady.
Untuk sebarang pertanyaan, anda boleh hubungan talian 1800-88-1191 atau emel kepada dutchladycareline@frieslandcampina.com.
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==