Tabik! Demi cinta dan menjaga air muka mertua, wanita ini sanggup bersanding seorang diri tanpa suami di sisi

Tabik! Demi cinta dan menjaga air muka mertua, wanita ini sanggup bersanding seorang diri tanpa suami di sisi

Hari perkahwinan merupakan saat bahagia bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga kerana pada hari ini sahajalah kedua-dua mempelai akan dilayan bagai raja sehari.
Namun, bahagiakah hari persandingan anda sekiranya terpaksa bersanding seorang diri tanpa kehadiran pasangan di sisi?
Satu peristiwa yang menjadi bualan hangat di media sosial telah berlaku di Teluk Intan apabila majlis pernikahan Badriyah Amirullah terpaksa diteruskan walaupun tanpa kehadiran suami tercinta.



Badriyah, 26 tahun yang merupakan anak kelahiran Johor Bahru itu terpaksa memberanikan diri bersanding sendirian di hadapan para tetamu yang hadir di majlisnya memandangkan suami, Syaiful Izwan yang merupakan seorang bomba tidak mendapat pelepasan cuti.
Walau bagaimanapun, majlis berkenaan tetap berlangsung dengan penuh kemeriahan dengan adanya keluarga dan sahabat handai.
Pada awalnya, pihak lelaki telah merancang untuk mengadakan majlis sambut menantu perempuan setelah mendapat perkhabaran bahawa pengantin lelaki mendapat cuti selama tiga hari sebelum perlu kembali bekerja pada 19 Mac.


Berdasarkan kepada laporan oleh NST, kedua-dua pengantin ternyata berasa amat teruja kerana dapat melaksanakan majlis berkenaan. Bagaimanapun, beberapa hari sebelum majlis berlangsung, mereka telah menerima berita bahawa suaminya yang kini menjalani latihan di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu tidak diberikan kelulusan cuti.
Setelah mendengar perkhabaran buruk tersebut, Badriyah dikatakan hampir sahaja menangis di hadapan keluarga mertuanya. Malah, dia turut bimbang dengan pelbagai perkara selain berasa kekok untuk berada di majlis berkenaan seorang diri sambil lengkap berpakaian pengantin.
Namun begitu, Badriyah berjaya ditenangkan oleh kedua mertuanya selain dipujuk oleh suami untuk meneruskan majlis.
“Saya mungkin tak akan dapat melaluinya seorang diri kalau mereka tiada”.
Apabila tiba hari persandingan, ketibaan pengantin perempuan tanpa pasangannya membuatkan seluruh hadirin tertanya-tanya. Namun, ketiadaan pengantin lelaki telah dijelaskan oleh pihak pengacara majlis.
“Malu memang malu tapi sebagai menantu sulung keluarga ini, saya harus teruskan jua demi kedua mertua saya dan air muka mereka,” kata Badriyah.
Malah, Badriyah turut berharap agar mana-mana pihak tidak akan meletakkan kesalahan pada Jabatan Bomba dan Penyelamat atas perkara yang berlaku. Badriyah menganggap peristiwa tersebut sebagai dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhinya setelah menjadi isteri kepada seorang ahli bomba.
Sememangnya, pengalaman bersanding seorang diri ini pasti tidak akan dilupakan oleh Badriyah sehingga ke akhir hayatnya.
Sementara itu, Penolong Ketua Pengarah (Bahagian Latihan) Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohammad Hamdan Wahid mengulas mengenai isu tersebut dengan memaklumkan bahawa pelepasan cuti tidak diberikan kepada pelatih selain daripada kes kecemasan seperti kematian ahli keluarga terdekat.
Sumber  : erabaru.com.my
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==