Resipi Bebola Daging Ala IKEA yang dikongsikan lebih daripada 2,000 kali! Cuba jangan tak cuba!

Resipi Bebola Daging Ala IKEA yang dikongsikan lebih daripada 2,000 kali! Cuba jangan tak cuba!

Sesiapa yang sering mengunjungi IKEA pasti tidak mahu lepaskan peluang untuk menikmati hidangan terkenal di IKEA iaitu bebola daging Swedish yang dimakan bersama kentang lenyek dan sos beri.
Namun, bukan semua orang berpeluang untuk merasai keenakan bebola daging ini terutamanya yang tinggal berjauhan dengan IKEA.
Tetapi, rasanya tidak salah untuk anda mencuba sendiri resipi ini yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook bernama Ida Alina Salleh.
Menurut Ida, resipi bebola daging ini dipelajari sendiri daripada seorang kenalannya yang merupakan penduduk Sweden ketika Ida sekeluarga menetap di Warsaw. Namun, Ida telah mengubah resipi ini sedikit supaya sesuai dengan kehendak dan selera anaknya memandangkan bebola daging ini dijadikan sebagai bekalan untuk ke sekolah.
Sekali-sekala menyediakan bekalan istimewa untuk anak, apa salahnya. Kalau makan nasi goreng atau nasi lemak setiap hari pun boleh jemu juga.
Ikuti resipi dan cara membuat yang lengkap di bawah ini.
Langkah untuk membuat kentang lenyek:


Rebuskan ubi kentang sehingga lembut. Kemudian angkat kentang dan toskan airnya. Sementara itu, panaskan sedikit susu segar bersama mentega sehingga mendidih. Masukkan kentang yang masih panas ke dalam campuran susu dan mentega tadi. Lenyekkan sehingga halus dan perasakan dengan sedikit garam dan lada hitam.
Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat bebola daging:
  • 350 gm daging cincang (ayam tidak sesuai)
  • 1 biji bawang Holland (didadu)
  • Sedikit mentega
  • Sebiji telur (guna separuh sahaja)
  • 1/2 cawan serbuk roti
  • 1/2 cawan susu segar
  • Garam dan lada hitam

Cara membuatnya:
Pertama sekali, anda perlu menyediakan serbuk roti. Anda boleh gunakan roti lama yang sudah kering. Jika tiada roti lama, anda boleh gunakan roti baru dan panggang roti tersebut sehingga kering. Kemudian, kisarkan sehingga sedikit halus. Ketepikan sebentar.
Panaskan kuali. Tumis bawang dengan sedikit mentega sehingga bawang bertukar menjadi lutsinar. Pastikan anda tidak menumis bawang sehingga menjadi garing. Ketepikan.
Langkah seterusnya adalah untuk menyediakan pes roti. Apa yang anda perlu lakukan adalah campurkan serbuk roti bersama dengan separuh telur yang telah dipukul dan jua setengah cawan susu segar. Gaul sehingga sebati dan ketepikan.
Kemudian, campurkan daging cincang bersama dengan bawang yang telah ditumis, 1/2 sudu teh garam dan sedikit lada hitam. Ida turut mencadangkan anda untuk meletakkan secubit serbuk buah pala jika mahu.
Masukkan pes roti yang telah disediakan terlebih dahulu tadi. Gaul rata.
Setelah adunan diadun sebati, anda boleh mula membentuk bebola daging ini. Basahkan tangan anda dengan sedikit air sebelum membentuk adunan daging menjadi bola. Tangan yang basah boleh mengelakkan daging daripada melekat pada tangan.
Panaskan kuali leper dengan sedikit mentega dan minyak sayuran. Dengan api perlahan, anda boleh goreng bebola daging.
Pastikan anda membalik-balikkan bebola daging supaya ia masak dengan sekata. Jangan masak terlalu lama bagi mengelakkan bebola daging menjadi terlalu kering. Ketepikan.
Cara membuat sos:
Masukkan susu segar dan masak dengan api sederhana. Apabila susu menjadi sedikit pekat, tambahkan stok ayam atau daging. Masak sehingga pekat dan boleh tambahkan perasa seperti lada hitam, garam dan serbuk lada sulah.
Hidangan bebola daging ala IKEA siap untuk dijadikan santapan istimewa buat ahli keluarga. Jangan tak cuba!

Sumber: erabaru.com.my
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==